:: Objektif ::


EKSPLORASI REMAJA AMBANG IPT 


1.0       PENGENALAN
                       
            Eksplorasi Remaja Ambang IPT (ERAT) ialah program tahunan anjuran IKRAMTeens. Sasaran peserta untuk program tahunan ini ialah pelajar lepasan SPM , STPM, STAM, Matrikulasi dan Diploma terutamanya yang tinggal di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Di sebalik tabir ERAT ini, terdapat puluhan orang mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara bersatu berpadu tenaga demi menjayakan program ini, di samping sumbangan keringat oleh tokoh-tokoh akademik, pakar motivasi dan juga aktivis kemasyarakatan.

Pada tahun ini, penganjuran ERAT sudah masuk tahun ke-13 sejak tahun 2006 yang asalnya menggunakan nama Ekplorasi Menara Ilmu (EMI). InsyaAllah, dengan kejayaannya menganjurkan satu lagi program pada tahun ini, ia akan mencatat sejarah sebagai salah satu program utama dalam mendidik pelajar menuju gerbang dunia mahasiswa yang sarat cabaran.

2.0       RASIONAL
                       
Bagi pelajar lepasan SPM, tempoh pra-universiti yang lazimnya memakan masa setahun hingga dua tahun merupakan period transisi yang begitu penting. Sepanjang tempoh ini, para pelajar sewajarnya dipersiapkan dengan pelbagai cabang ilmu demi mengukuhkan lagi persediaan sebelum melangkah ke alam universiti dan setaraf yang jauh lebih mencabar.
Pelajar Muslim bukan sahaja perlu cemerlang dari segi intelek, sebaliknya turut mapan daripada aspek kerohanian, akhlak, emosi dan jasmani. Demi melahirkan bakal mahasiswa yang bersiap-siaga menuju ke dunia baru, maka inilah inisiatif badan bukan kerajaan yang aktif di lapangan ummah; IKRAMTeens, HARMONI dan BIRO SEBERANG LAUT dalam menganjurkan ERAT yang menggabungkan metodologi pendidikan bertunjangkan nilai-nilai Islam.
Di samping itu, penekanan turut diberikan pada elemen-elemen keperibadian Islami yang diserapkan di dalam setiap slot dan modul. Hal ini cukup penting demi menyemai kefahaman bahawa kejayaan yang ingin digapai merangkumi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Melalui mesej yang disampaikan melalui pelbagai kaedah, adalah diharapkan generasi hadapan kita bakal berjaya menangkis serangan pemikiran dan ideologi yang lazimnya menimpa belia kini.

Selain itu, ERAT  turut menghidangkan acara-acara lasak yang menguji fizikal dan juga emosi peserta. Aktiviti sebegini penting sebagai pengukuhan jiwa untuk hidup berkomuniti apabila berada di IPT kelak. Semestinya corak hidup seorang pelajar memerlukan hubungan kolektif sesama rakan tanpa mengabaikan syariat.


2.0       OBJEKTIF
                       
Di antara objektif program ERAT ialah:-
a)      Memberi pendedahan awal kepada pelajar lepasan SPM, STPM, STAM, Matrikulasi dan Diploma berkenaan gambaran kehidupan pasca pengajian di IPT kelak.
b)     Merealisasikan perkongsian sesama tokoh akademik, pakar motivasi, graduan, mahasiswa dan bakal siswa tentang tips-tips kecemerlangan hidup di IPT.
c)     Mendidik para pelajar berkaitan haluan kerjaya yang amat penting sebagai penerusan bagi bidang kursus yang dipilih di IPT.
d)   Menyerapkan di samping menekankan kepentingan elemen akhlak Islami dan ibadah kerohanian yang merupakan resipi kejayaan mahasiswa Muslim.
e)    Mengukuhkan silaturrahim sesama pelajar yang berhimpun dari seluruh MALAYSIA.


3.0       TEMA

          “One Small Step in Campus Life, One Big Leap for Ummah”

No comments:

Post a Comment